Bagi Izham yang juga dikenali sebagai pakar statistik, bidang pertanian dipilih bukan asing buat dirinya kerana memang berasal daripada keluarga petani dan sudah menjadi darah dagingnya sekali gus menyifatkan ia mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Beliau yang mengusahakan tanaman lada merah menggunakan sistem fertigasi di FELDA Batu Lapan, Changlun, Kedah memang tidak kekok bekerja di ladang di bawah panas terik matahari kerana sudah menjadi minatnya untuk bertani sejak dulu.
Malah, beliau juga memilih kursus pertanian fertigasi di GM Peladang, Shah Alam, Selangor sepanjang mengikuti program persaraan selama tiga bulan bagi mencari ilmu untuk memulakan ladang fertigasi lada merahnya selepas bersara pada 6 Jun tahun lalu.
“Saya memang meminati bidang pertanian kerana darah yang mengalir dalam tubuh ini adalah darah petani yang berasal daripada keluarga peneroka FELDA.
“Memang diakui saya menyimpan hasrat untuk bertani sejak kecil apabila melihat kebanyakan ahli keluarga menjadi petani, tetapi minat itu dipendam kerana menyambung pengajian di luar negara sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di UUM bermula 1985 hingga 2014.
“Justeru selepas bersara, saya memulakan hasrat dengan mengambil kursus pertanian moden selama tiga bulan untuk menambah ilmu pengetahuan dan menyelami selok-belok pertanian sebagai satu perniagaan,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.
Beliau tidak kisah bermandi peluh dan berjemur di tengah panas kerana ia memberi satu kepuasan kepada dirinya yang memang mahu berbudi kepada tanah.
Katanya, buat permulaan beliau melabur wang simpanan sebanyak RM20,000 untuk memulakan ladang bagi membina sebuah sistem fertigasi lengkap termasuk sistem kawalan masa dan sistem air di kawasan seluas kira-kira satu hektar.
“Projek bermula apabila saya membersihkan tapak tanaman dan membuat sistem fertigasi lengkap dengan penggunaan pam penyedut air, dua tangki simpanan air serta set panjaga masa automatik dan jarum air (dripper) dan tiub pengalir air.
“Selain dari set fertigasi, saya turut membina sebuah rumah semaian kalis serangga yang amat penting untuk melindungi tunas tanaman dari ancaman serangga dan suhu melampau untuk tempoh 30 hari.
“Saya menjadi petani moden sepenuh masa dengan memulakan ladang fertigasi sebanyak 320 pokok lada merah yang ditanam di dalam beg semaian dan menggunakan rumah perlindungan tanaman,” katanya.
Beliau berkata, set fertigasi itu menggunakan 160 beg semaian kerana mampu menampung sebanyak dua pokok dalam satu masa, selain itu ia juga dapat memastikan pokok mendapat air secukupnya menggunakan dripper yang dibenamkan ke dalam polibeg sebagai pembekal air dan nutrien yang mencukupi.
Katanya, hasil tuaiannya yang petama mengeluarkan hasil sebanyak satu tan dan mampu dijual kepada pemborong di pasar dengan pendapatan lebih kurang RM10,000.
“Saya menggunakan benih lada merah jenis Kulai 151 yang diimport daripada Taiwan dan dihasilkan secara hibrid apabila ia mampu menghasilkan buah organik secara maksimum selama enam bulan.
“Kualiti pokok mampu bertahan dari serangan serangga dan makhluk perosak dan tahan dengan suhu ekstrem, menghasilkan buah yang berkualiti dan berkilat dengan saiz besar selain panjang.
“Alhamdulillah, tanaman saya semakin diperluaskan dengan 1,200 pokok yang dapat menghasilkan empat tan hasil tanaman kerana satu pokok mampu menghasilkan sebanyak
Menurutnya, beliau memang menjaga kualiti setiap pengeluaran lada merah berkenaan untuk memastikan pelanggan berpuas hati dan makan makanan segar organik yang bebas racun seranga dan baja kimia.
“Saya mahu semua pokok lada merah ini adalah 100 peratus organik dan ianya mampu mengekalkan kualiti tersendiri serta dijamin baik untuk kesihatan kerana tanpa penggunaan racun dan baja kimia.
“Selain itu apa yang dimahukan, saya dapat menjual hasil lada merah yang berkualiti pada harga rendah, selain orang ramai dapat menikmati makanan lebih baik untuk kesihatan nanti,” katanya
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62620#foto
No comments:
Post a Comment